Polis nafi majlis perkahwinan di kuil

POLIS menafikan berlaku upacara perkahwinan dihadiri lebih 100 individu di sebuah kuil di Seri Kembangan, Serdang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, berdasarkan tinjauan dan siasatan di sekitar kuil itu mendapati tiada sebarang aktiviti dijalankan di kuil itu.

“Hasil soal siasat terhadap penjaga kuil menyatakan majlis di dalam video yang tular itu tidak berlangsung hari ini.

“Beliau memaklumkan tiada sebarang aktiviti atau majlis diadakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Ismadi berkata, siasatan lanjut akan dilakukan untuk mengesan penyebaran video berkenaan.

Katanya, polis akan sentiasa membuat pemantauan di setiap rumah ibadat bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19.

Terdahulu, video berdurasi satu minit yang memaparkan beberapa individu berkumpul dan mengadakan majlis perkahwinan di sebuah kuil di Seri Kembangan, tular di media sosial.

Kejadian dikatakan disedari orang awam yang memandu di kawasan itu dan melihat deretan kereta di hadapan kuil serta orang ramai berkumpul di dalam kuil.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan