Polis kemalangan ketika iringi MB Kedah

SEORANG anggota polis trafik cedera di kaki kanan selepas motosikal yang ditungganginya melanggar sebuah motosikal lain ketika mengiringi kenderaan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor di Kampung Chemara, Sik, hari ini.

Dalam kejadian 6 petang hari ini, Lans Koperal Mohd Azlan Iswan, 31, dikatakan terjatuh dan cedera akibat kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdul Razak Osman berkata, anggotanya yang bertugas di Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah Sik itu dikatakan mengiringi Menteri Besar dari Tol Gurun ke kediaman persendiriannya di Sungai Pau, Sik.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati motosikal anggota terbabit dikatakan melanggar motosikal yang ditunggangi seorang jurujual lelaki berusia 24 tahun yang melintas dari kiri ke kanan secara tiba-tiba.

“Ketika kemalangan berlaku, siren sedang dibunyikan sebagai amaran kepada pengguna jalan raya.

“Bagaimanapun, penunggang motosikal terbabit hanya cedera ringan iaitu di tangan dan kaki sebelah kanan, manakala anggota kami terseliuh dan cedera di kaki kanan,” katanya.

Abdul Razak berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.