Polis buru Boy, Wan Sakai

POLIS menahan tujuh individu termasuk seorang pengawal keselamatan sebuah pasar raya di Sungai Petani kerana disyaki terbabit dalam kejadian pecah sebuah kiosk menjual emas di premis itu pada 10 Mei lalu.

Kesemua suspek berusia 23 hingga 55 tahun itu ditahan dalam serbuan di sekitar Sungai Petani antara 17 Mei hingga 19 Mei lalu.

Sebelum ini, pemilik kiosk menjual emas berkenaan mendakwa mengalami kerugian RM500,000 selepas peti besi mengandungi wang tunai dan barangan kemas dilarikan penjenayah.

Susulan itu, tiga pengawal keselamatan yang bertugas pada malam kejadian ditahan pada hari yang sama untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, tiga pengawal keselamatan berkenaan dibebaskan semalam selepas didapati tidak terbabit dalam kejadian itu.

“Hasil siasatan mendapati seorang pengawal keselamatan lain memberi maklumat kepada kumpulan penjenayah berkenaan, bagaimanapun dia tidak bertugas pada malam kejadian.

“Bertindak atas maklumat, polis menahan suspek bersama enam individu lain termasuk seorang wanita,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, hari ini.

Adzli berkata, hasil serbuan berjaya menemukan semula peti besi serta beberapa barangan kemas yang dilarikan.

Beliau berkata, bagaimanapun, sebahagian barangan kemas yang dicuri dipercayai sudah dijual kepada peraih emas yang tidak berdaftar di sekitar Kuala Lumpur.

Katanya, saringan ujian air kencing mendapati kesemua yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine.

“Polis kini memburu dua individu iaitu Mahroze Irwan Mansor, 39, atau dikenali sebagai ‘Boy’ dan Mohd Redzuan Md Zain, 42, atau ‘Wan Sakai’ untuk membantu siasatan kes ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dua lelaki terbabit diminta menghubungi Pegawai Penyiasat di talian 019-5392275 atau balai polis terdekat,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.