Pokok tumbang jejas sekitar Ipoh

HUJAN lebat serta angin kencang menyebabkan 11 kawasan di Ipoh terjejas dengan kejadian pokok tumbang, petang semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, laporan yang diterima bermula 4.56 petang apabila sebuah kereta dihempap pokok tumbang di Jalan Hospital, Ipoh.

Beliau berkata, empat lagi kawasan yang terjejas dengan kejadian pokok tumbang itu ialah Jalan Too Kee Lin Ipoh Garden, Taman Fair Park, Wallecourt, serta Jalan Pasir Puteh.

Bagaimanapun, katanya, kesemua insiden itu hanya membabitkan kerosakan kenderaan, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa membabitkan orang.

“Kejadian tidak membabitkan kecederaan atau kematian, setakat ini laporan hanya membabitkan kerosakan kenderaan.

“Juga tiada rumah dilaporkan rosak akibat kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan laporan berhubung insiden runtuhan struktur papan iklan gergasi yang menghempap beberapa kenderaan di Jalan Sultan Yusof seperti tular di media sosial.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam kenyataan berasingan berkata, kejadian pokok tumbang turut berlaku di sekitar Stadium Perak, Jalan Raja Musa Aziz, Greentown, Jalan Pasar, Kampung Simee dan Jalan Sybil Kathigasu.

Kata kenyataan itu, kerja mengalihkan pokok tumbang dilakukan sehingga malam tadi dan akan disambung semula hari ini bagi kerja pembersihan.

“Kejadian pokok tumbang seumpama ini kerap berlaku akhir-akhir ini disebabkan hujan lebat,” katanya.