PM kongsi kejayaan 4 guru, pelajar

MASING-MASING empat guru dan pelajar yang mengharumkan nama Malaysia ke persada dunia dikongsi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Katanya, beliau bangga dengan pencapaian lapan individu itu dan percaya ramai lagi anak watan yang berjaya dalam pelbagai bidang yang tidak dapat disebutnya satu persatu.

Walaupun sambutan Hari Guru yang bertemakan ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’ tahun ini berbeza daripada sebelumnya, beliau berkata, jasa dan pengorbanan guru tidak pernah dilupa sebaliknya terus dihargai serta subur dalam ingatan.

“Tahniah saya ucapkan kepada cikgu Abd Rahman Ali dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom yang juga Ikon Guru Teknologi Pendidikan Kebangsaan 2017; Ikon STEM Kebangsaan 2018; MIE Expert Malaysia; Global Minecraft Mentor dan peserta Global Education Exchange Microsoft Sydney, Australia 2020.

“Beliau juga mencapai kedudukan kelima teratas Cikgu Juara Digital Mydigitalmaker Kebangsaan 2020,” katanya sempena Perutusan Khas Hari Guru, hari ini.

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada guru Kimia, Lee Saw Im daripada SMK Seri Bintang Utara yang berkhidmat selama 30 tahun dan penerima Anugerah Guru Global 2019 dan pernah dinobatkan sebagai pemenang Guru Sains Terbaik Asia Tenggara.

Ucapan sama kepada Norhailmi Abdul Mutalib daripada SMK Jerlun, Ayer Hitam, Kedah yang juga finalis untuk ‘Global Teacher Prize 2020’.

“Cikgu Norhailmi adalah seorang guru yang inovatif dalam menghasilkan bahan pembelajaran menggunakan platform digital,” katanya.

Turut dihargai, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Runchang, Muadzam Shah, Pahang iaitu Samuel Isaiah yang disenarai pendek untuk Global Teacher Prize 2020 selepas berjaya meningkatkan pencapaian murid di sekolahnya yang terletak di luar bandar.

“Hasil penat lelah guru kita juga menghasilkan ramai anak murid yang berjaya, seperti adik Izzah Amzan daripada Sekolah Sukan Bukit Jalil yang juga seorang gimnas kebangsaan dan memenangi dua pingat emas serta satu perak di Temasya Sukan SEA 2019 di Filipina.

“Saya juga berbangga dengan pencapaian Pasukan Vincera daripada SMK King George Kelima, Negeri Sembilan yang menjadi Naib Juara, Land Rover 4×4 in Schools Technology Challenge, World Finals 2019 di United Kingdom; serta adik Nathanael Lim Yee Ning, Ling Guan Yee dan Ling Yan Ru daripada Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kai Ming dan Sekolah Kebangsaan St Anthony, Bintulu yang memenangi pingat emas pada pertandingan inovasi Pameran Teknologi, Inovasi dan Reka Cipta, Harta Intelek Antarabangsa 2020,” katanya.