PKPB: Polis pantau pusat beli-belah

PUSAT beli-belah dan kedai makan akan dipantau bagi memastikan orang ramai mematuhi arahan Prosedur Operasi Selamat (SOP) bagi memastikan keadaan selamat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Syed Basri Syed Ali berkata, anggota yang bertugas sentiasa membuat pemantauan di beberapa lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai pada musim menyambut Aidilfitri nanti.

Beliau berkata, orang ramai yang keluar untuk membeli barangan keperluan mestilah mematuhi arahan SOP yang dikeluarkan dengan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial.

“Anggota kami yang bertugas akan memantau mana-mana ibu bapa supaya tidak membawa anak-anak mereka ke tempat membeli-belah.

“Musim sekarang orang ramai mengambil kesempatan selepas kelonggaran PKPB yang diberikan oleh kerajaan untuk keluar membeli belah, jadi mereka perlu patuh setiap arahan yang dikeluarkan,” katanya.

Syed Basri berkata, jangan ambil sikap mudah dan mengabaikan segala arahan sebaliknya mesti utamakan penjagaan kesihatan setiap masa.

“Kita tidak teragak-agak mengambil tindakan dan mengeluarkan saman ke atas kedegilan dan ambil sikap mudah.

“Covid-19 tidak boleh dipandang remeh malah kita perlu memutuskan rantaian jadi patuh setiap arahan yang dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini tidak ada saman dikeluarkan ke atas mana-mana individu di pusat beli-belah dan kedai makanan.

Syed Basri berkata, ketika PKPB mereka dibenarkan makan di kedai tetapi dengan mematuhi SOP seperti penjarakan sosial, pensanitasi tangan (hand sanitizer), menulis butiran diri di dalam buku dan memeriksa suhu badan bagi memastikan keadaan lebih selamat.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan