PKPB: 12 premis diarah tutup

DUA belas premis di Lahad Datu diarah tutup selepas didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam Op Pematuhan SOP, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, operasi dijalankan bermula 8 pagi hingga 5 petang membabitkan pemeriksaan terhadap 110 premis.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati 12 premis tidak mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Premis yang diarahkan tutup itu membabitkan tujuh kedai runcit dan lima restoran.

“Ini berikutan semua premis berkenaan tidak mematuhi SOP ditetapkan ketika (PKPB) sedang dikuatkuasakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

PASUKAN keselamatan yang menjalankan Op Pematuhan di beberapa premis di Lahad Datu. FOTO Juwan Riduan
PASUKAN keselamatan yang menjalankan Op Pematuhan di beberapa premis di Lahad Datu. FOTO Juwan Riduan

Nasri berkata, setakat ini tiada kompaun dikeluarkan, namun pihak berkuasa akan terus memantau semua premis perniagaan di daerah itu.

Sementara itu, Nasri memberitahu, operasi Ops Pematuhan SOP yang dijalankan hari ini adalah kerjasama dijalin antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Katanya, operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua peniaga mematuhi SOP ditetapkan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan