Pintu gerbang 1,400 pelita

SEKUMPULAN penduduk Kampung Baru di Sri Gading, Batu Pahat mempunyai cara tersendiri bagi memeriahkan suasana kampung menjelang 1 Syawal.

Menggunakan kayu terbuang dan 1,400 pelita, mereka membina pintu gerbang di laluan masuk utama ke kampung berkenaan yang sekali gus menarik mata memandang.

Penduduk, Nor Ikhwan Nasir, 45, berkata pintu gerbang pelita itu dianggap sebagai simbolik bagi kemeriahan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Katanya, idea untuk menghasilkan pintu gerbang pelita itu adalah cetusan dia dan dua rakan sekampung bagi memeriahkan malam tujuh likur dan menyambut Aidilfitri.

PINTU gerbang pelita yang dicipta oleh golongan belia di Kampung Baru, Sri Gading, di sini. FOTO Essa Abu Bakar Yamin
PINTU gerbang pelita yang dicipta oleh golongan belia di Kampung Baru, Sri Gading, di sini. FOTO Essa Abu Bakar Yamin

“Memandangkan sambutan Aidilfitri tahun ini dalam tempoh PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat), saya dan rakan-rakan berusaha untuk memberikan suasana yang meriah kepada penduduk kampung dan kawasan sekitar,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ikhwan, dia dan rakan-rakan mula membina pintu gerbang berkenaan sejak awal Ramadan lalu membabitkan dengan dibantu kira-kira 10 orang anak muda di kampung itu secara bergilir-gilir.

Sementara itu, rakannya, Azam Isnin, 45, berkata dia tidak menyangka ciptaan pintu gerbang pelita berkenaan menjadi tular di Facebook.

“Pada mulanya kami hanya memuat naik gambar dan video pintu gerbang pelita berkenaan sudah siap dihias di Facebook masing-masing tetapi tidak menyangka ia tular sejak beberapa hari lalu.

“Selepas tular di media sosial, penduduk kampung serta orang ramai yang lalu di jalan hadapan kampung ini tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar.

“Kedudukan kampung ini di laluan utama ke pusat bandar Batu Pahat serta pekan terdekat menjadikan pintu gerbang ini menarik perhatian pengguna jalan raya,” katanya.

Menurut Azam, dia turut teruja apabila melihat ikatan silaturahim antara penduduk kampung yang berganding bahu menyiapkan pintu gerbang terbabit.

“Menjadi tradisi penduduk kampung bergotong-royong membuat pintu gerbang, tapi pada kali ini kami berhasrat untuk membina dengan lebih menarik dan cantik,” katanya.