Pilu jumpa mayat adik selepas dua hari hilang

USAHA dua abang mencari adik mereka yang menghidap sakit mental selepas hilang dua hari, berakhir dengan pilu apabila mayat lelaki itu ditemukan lemas di pantai Kampung Telok Gong, Kuala Sungai Baru dekat Alor Gajah.

Dalam kejadian 5 petang semalam, mayat Mohd Zaidi Zainol, 42, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat terapung di pantai kampung berkenaan kira-kira 500 meter dari kediamannya.

Abang mangsa, Murad, 45, berkata dia dan adiknya, Amran, 44, mencari adik mereka apabila dia tidak pulang ke rumah selepas keluar kira-kira jam 5 petang, Sabtu lalu.

“Kami tinggal bertiga selepas arwah ibu meninggal dunia pada 2013 manakala arwah ayah meninggalkan kami semasa kami masih kecil dan arwah Mohd Zaidi selalu keluar rumah tetapi dia pandai mencari jalan pulang.

“Selepas puas mencarinya sejak petang Sabtu lalu, Amran membuat laporan di Balai Polis Kuala Sungai Baru pada keesokannya dan kami tidak putus asa terus mencarinya bersama pasukan mencari dan menyelamat,” katanya ketika ditemui di kediamannya di kampung itu hari ini.

Dia berkata, sebelum ini arwah Mohd Zaidi tidak pernah tidak pulang dan paling lama dia meninggalkan kediaman adalah antara tujuh hingga lapan jam dan lazimnya arwah pulang pada waktu senja.

Murad berkata, pasukan berkenaan yang disertai polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Rela menemukan mayat adiknya terapung di gigi pantai sebelum membawanya naik ke pantai kira-kira 5 petang semalam.

“Kami tidak sangka arwah keluar rumah dalam keadaan berkain pelekat tanpa baju rupa-rupanya ingin mandi laut sedangkan sebelum ini arwah amat jarang mandi laut.

“Arwah tidak pandai berenang dan selama ini pun, kami amat jarang melihat dia mandi laut sama ada di pantai ini, pantai Kampung Pengkalan Balak atau Kampung Sungai Tuang yang berjiran dengan kampung kami,” katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Telok Gong petang ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat lemas.

“Tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.