PGA7 cekal bantu perangi Covid-19

JUMLAH anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) yang bertugas dikurangkan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disambung dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, seramai 120 anggota dan pegawai ditugaskan sejak PKP bermula 18 Mac dan dikurangkan kepada 39 anggota selepas PKPB bermula pada 4 Mei.

Beliau berkata, mereka terbabit mengawal Sekatan Jalan Raya (SJR) di beberapa daerah seperti di Tumpat, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Jeli.

“Setiap kenderaan diperiksa dengan teliti bagi memastikan tiada kesalahan dilakukan terutama membabitkan aktiviti jenayah, penyeludupan dan pergerakan lintas negeri tanpa kebenaran ketika tempoh PKP dan PKPB.

“Sehubungan itu, masyarakat digesa agar terus mematuhi PKPB dan arahan pihak berkuasa bagi memastikan rantaian Covid-19 di negara ini dapat diputuskan segera.

“PGA terus memberi khidmat terbaik dan memberi kerjasama kepada agensi keselamatan lain terutama bagi menempuh tempoh PKPB ini agar dapat melawan penularan wabak berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kebajikan anggota bertugas dalam keadaan baik serta terjaga termasuk menyediakan penginapan selesa, pengangkutan ke tempat kerja dan membekalkan makanan atau minuman untuk berbuka serta bersahur sepanjang Ramadan.

Selain itu, katanya, semua anggota dipastikan mempunyai kesihatan baik selain sentiasa bersiap siaga, berpakaian kemas, berintegriti dan berdisiplin supaya dapat memberi khidmat terbaik sebagai kumpulan barisan hadapan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan