PGA rampas 3.24 tan ketum

BATALION 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 3.24 tan daun ketum bernilai RM97,200 dalam satu serbuan ke atas dua rumah di Jalan Kampung Kolam, Padang Besar, awal pagi tadi.

Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohd Ji berkata, dalam serbuan 1.21 pagi itu, pihaknya turut merampas sebuah kereta yang ditinggalkan penyeludup.

“Pihak kami bertindak di atas maklumat risikan bahawa terdapat dua rumah dijadikan sebagai port untuk menyimpan daun ketum sebelum diseludup.

“Ketika serbuan dilakukan, terdapat sekumpulan lelaki yang berkumpul di hadapan rumah berkenaan namun mereka bertempiaran lari sejurus menyedari kehadiran anggota,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Ghani berkata, pihaknya kemudian mendapati terdapat 78 guni berisi daun ketum.

“30 guni lagi sudah dimuatkan di dalam kereta yang diletakkan di hadapan rumah terbabit.

“Pihak kami percaya kesemua daun ketum berkenaan akan diseludup keluar ke negara jiran memandangkan permintaannya yang tinggi di sana,” katanya.

Beliau berkata, kesemua daun ketum dan kereta dibawa ke Balai Polis Padang Besar untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.