Pesta Kaamatan, Gawai raikan dalam normal baharu – PM

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap Pesta Kaamatan bagi masyarakat Kadazandusun di Sabah dan Hari Gawai bagi komuniti Dayak di Sarawak akan menjadi medan mengeratkan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Katanya, ia pasti diraikan rakyat berbilang kaum di negara ini menerusi aktiviti kunjung mengunjung yang menjadi tradisi sejak sekian lama, namun kali ini disambut dalam suasana berbeza kerana negara masih berjuang menentang penularan Covid-19.

“Saya dimaklumkan ada di antara acara sambutan Pesta Kaamatan yang akan dianjurkan secara dalam talian dan ini amat dialu-alukan supaya tradisi kesyukuran tetap dapat diteruskan dalam normal baharu rakyat Malaysia.

“Semoga perayaan ini terus menyemarakkan keharmonian antara kaum di Malaysia dan memperkukuhkan perpaduan sesama kita,” katanya dalam kenyataan di Facebook.