Pesakit Covid-19 ‘hilang’, ditahan semula

LELAKI warga asing yang gagal dikesan selepas disahkan positif Covid-19 apabila ujian saringan dilakukan di Jalan Raja Bot, Chow Kit, Kuala Lumpur, pada 10 Mei lalu, berjaya ditahan polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan berkata, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperoleh keputusan ujian saringan Covid-19 pada 3 petang, Isnin lalu, selepas ujian dilakukan pada 7 Mei lalu.

“Pesakit positif Covid-19 dibawa ke Hospital Sungai Buloh, Selangor untuk rawatan lanjut, manakala seorang pesakit gagal dikesan melalui alamat diberikan.

“Siasatan mendapati suspek pergi ke rumah rakannya di Chow Kit pada hari saringan dibuat dan turut ikut sama menjalani ujian saringan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Fahmi berkata, selepas saringan dilakukan, suspek pulang semula ke rumahnya di Ampang, Selangor.

“Sebaik mengetahui dirinya positif Covid-19, suspek melarikan diri ke kawasan Brickfields.

“Suspek berjaya ditemui semula di hadapan sebuah bank di Jalan Tun Sambathan pada 12.30 tengah malam tadi.

“Dia diserahkan kepada KKM dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut,” katanya.