Pesakit Covid-19 gembira ‘bertemu’ pelakon pujaan

KESEDIHAN seorang pesakit Covid-19 akibat kematian bapanya, sedikit terubat selepas menerima kata perangsang dan motivasi daripada pelakon pujaannya.

Mohammad Talha Mohammad, 18, rasa bertuah apabila impiannya berinteraksi secara maya menerusi siaran langsung Instagram (IG Live) dengan pelakon Harris Annuar tiga hari lalu menjadi kenyataan.

Anak ketiga daripada lima beradik dari Tawau, Sabah itu berkata, dia mengagumi bakat dan mengikuti perkembangan pelakon berkenaan sejak tiga tahun lalu.

“Saya amat meminati Harris bukan saja mengagumi bakatnya tetapi dia juga menghiburkan kerana kelakar dan suka beri motivasi kepada orang lain.

“Sebenarnya memang dah lama nak bersembang dengannya tetapi tiada kesempatan sebab dia ramai peminat dan pengikut di IG.

“Tiga hari lalu, saya saja mencuba nasib menghantar komen kepadanya tidak sangka akhirnya dipilih secara rawak bersembang dengannya di IG Live,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, dia kini bersama lima lagi ahli keluarganya menjalani rawatan dan pemantauan di Hospital Tawau akibat jangkitan Covid-19 daripada bapanya, Mohammad Bartuk, 54, yang turut maut akibat wabak itu.

“Saya gembira dapat bersembang dengan Harris secara kebetulan memang saya kebosanan kerana sudah 26 hari di hospital.

“Saya juga berterima kasih dan lega kerana Harris sudi mendengar luahan saya malah memberikan kata perangsang bagi menaikkan semangat saya melalui detik sukar ini.

“Alhamdulillah, kini kesihatan dan emosi saya semakin stabil, kami sekeluarga juga reda dengan apa yang berlaku semoga mereka yang senasib kami juga tabah melalui ujian masing-masing,” katanya.

PESAKIT Covid-19, Talha bersembang dengan pelakon pujaannya, Harris Annuar di IG Live tiga hari lalu. FOTO ihsan pembaca
PESAKIT Covid-19, Talha bersembang dengan pelakon pujaannya, Harris Annuar di IG Live tiga hari lalu. FOTO ihsan pembaca

Sementara itu, Harris,27, yang gemar berinteraksi dengan pengikutnya menerusi IG Live di laman sosialnya itu berkata, dia memilih Talha secara rawak.

“Saya memang tak mengenali Talha dan tidak tahu dia pesakit Covid-19 hinggalah dia berkongsi cerita.

“Saya bertanya kepadanya kenapa ada dekat hospital? Rupanya dia dijangkiti Covid-19 daripada arwah bapanya yang meninggal dunia akibat wabak itu.

“Ketika itulah saya rasa sebak kerana secara tidak langsung teringat ayah yang begitu rapat dengan saya,” katanya.

Katanya, dia mahu terus berhubung dan mengikuti perkembangan remaja itu pada masa akan datang.

“Selepas sesi IG Live itu, saya Direct Message dia beri kata-kata semangat. Saya mungkin tak boleh buat apa-apa, tetapi sedikit sebanyak dengan cara itu dapat mententeramkan dirinya ketika melalui ujian berat ini.

“Saya juga sempat pesan kepadanya, teruskan berhubung dan berkongsi perkembangan terutama selepas keluar hospital dan InsyaAllah, jika ada kelapangan dan kesempatan waktu saya akan bertemu dengannya suatu hari nanti,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19