Pertimbangkan semula

KEPUTUSAN kerajaan untuk membuka semula beberapa jenis perniagaan pada fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 28 April harus dipertimbangkan semula oleh kerajaan, sesuai seruan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan reaksi orang ramai.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, operasi perniagaan seperti kedai gunting rambut dan dobi sebaiknya perlu ditangguhkan kerana ia bukan keperluan mendesak.

Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, penganjuran bazar Ramadan juga tidak seharusnya diberikan kelonggaran.

“Orang ramai sudah memberikan reaksi terhadap pembukaan perkhidmatan kedai gunting rambut atau ‘non-essentials’ apabila mereka jelas tidak bersetuju.

“Kebanyakan pemain sektor berkenaan juga sudah menyuarakan kebimbangan mereka untuk beroperasi dalam keadaan pandemik sebegini.

“Pelaksanaan PKP mesti dikuatkuasakan dengan tegas sehingga Malaysia berjaya mencapai unjuran kes Covid-19 yang agak stabil.

“Keutamaan kerajaan ialah memastikan kepentingan kesihatan umum tidak di kompromi dalam apa juga keadaan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya hari ini.

Berpandukan laporan media, hampir semua negeri sudah membuat keputusan untuk tidak membenarkan bazar Ramadan beroperasi tahun ini sebagai langkah mengekang rantaian penularan pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, setiap rakyat negara ini perlu memainkan peranan dalam menyumbang kepada survival komuniti kerana tiada yang lebih penting dari memelihara nyawa dan keselamatan umum.

Menurutnya, sebaik sahaja pandemik ini berakhir, semua rakyat boleh bergaya semahunya dengan apa jua penampilan, berhari raya sepuasnya atau menganjurkan pelbagai bazar dan bukan sekadar bazar Ramadan tetapi juga melakukan menziarahi saudara-mara dan rakan taulan.

“Tugas kita semua ketika ini ialah memutuskan rangkaian Covid-19 dan mengurangkan jangkitan.

“Justeru, semua peringkat masyarakat perlu patuhi arahan PKP dan duduklah di rumah serta jaga kebersihan dan amalkan penjarakan sosial,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan