Pertama kali jadi imam solat Aidilfitri

“KALI pertama saya menjadi imam solat sunat Aidilfitri untuk ahli keluarga,” kata Mohamad Yahya, 67, ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Mohamad bersama isterinya, Timah Talib, 65, dan 15 anak dan menantunya menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di rumahnya di Felda Kerteh Tiga, Paka.

Katanya, suasana sambutan perayaan Aidilfitri tetap dirasai apabila dapat menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama ahli keluarga.

“Saya berasa sangat gembira dapat menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri itu biarpun berlainan daripada kebiasaan.

“Kami tetap mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan ketika menunaikan solat sunat itu.

“Kami melakukan perjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka sepanjang mengerjakan solat Hari Raya Aidilfitri itu,” katanya.

Tambahnya, dia bersama isteri, anak, menantu dan cucunya itu bertadbir raya terlebih dahulu seawal 8 pagi sebelum menunaikan solat dan mendengar khutbah yang dibacakan anak lelakinya.

“Biarpun tidak dapat menunaikan solat Aidilfitri di masjid namun bukan alasan untuk kami tidak mengerjakan solat sunat itu.

“Cuma berasa sedih pada Syawal kali ini kerana tiga anak bersama menantu dan cucu dari Kuala Lumpur dan Pahang tidak dapat pulang beraya bersama,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Syafri Husnaini Mohamad, 45, berkata, dia memberanikan diri membaca khutbah Hari Raya Aidilfitri yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) itu.

“Jika diikutkan tiada pengalaman membaca khutbah tetapi saya memberanikan diri dan mencubanya.

“Alhamdulillah melalui bimbingah ayah, saya berjaya menghabiskan khutbah dengan lancar,” katanya.

Bagi Farhah Nadihah Jailani, 25, suasana Hari Raya Aidilfitri pada setiap tahun hanya dirasai ketika bertakbir, mengerjakan solat sunat dan mendengar khutbah Hari Raya.

“Jika tidak solat sunat Hari Raya suasana raya itu tidak dirasai oleh itu berasa seronok apabila solat sunat itu dapat ditunaikan bersama keluarga pada Syawal kali ini,” katanya.