Perkhidmatan awam negeri Sabah beroperasi semula

SEMUA perkhidmatan awam kerajaan negeri Sabah akan beroperasi seperti biasa berkuatkuasa hari ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong dalam satu kenyataan, hari ini berkata, keputusan terbabit bagi memastikan perkhidmatan kerajaan negeri berada di tahap yang cekap dan berkesan.

“Semua kementerian, jabatan, agensi kerajaan negeri, badan berkanun negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hendaklah beroperasi seperti biasa dengan mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia ( KKM ) dan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah serta arahan dari semasa ke semasa.

“Kehadiran kakitangan di organisasi masing-masing hendaklah sekurang-kurangnya 60 peratus di pejabat masing-masing dan 40 peratus bekerja dari rumah serta penjadualan kerja hendaklah mengambilkira kebajikan, keselamatan dan penggiliran kakitangan.

“Selain itu, penggunaan aplikasi dalam talian adalah digalakkan dan diperluaskan bagi meminimumkan kehadiran pelanggan di kaunter dan pejabat kerajaan,” katanya.

Dalam kenyataan media terbabit, beliau turut berkata, ketua jabatan atau agensi dalam sesebuah organisasi diberikan kuasa untuk mengatur giliran kakitangan yang perlu hadir ke pejabat dan yang bekerja dari rumah.

“Walau bagaimanapun, ketua jabatan atau agensi boleh mengeluarkan arahan bekerja kepada mana-mana kakitangan di bawah jagaan masing-masing yang bersesuaian dengan keperluan perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Safar turut menegaskan semua ketua jabatan atau agensi diingatkan untuk memastikan SOP keselamatan dan kesihatan dipatuhi sepenuhnya oleh kakitangan masing-masing bagi memastikan tidak berlaku penularan Covid-19 di tempat kerja.