Periksa harga barangan SHMMP bila-bila masa [METROTV]

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) akan menggiatkan pemeriksaan di premis borong dan runcit sekitar ibu negara sepanjang 15 hari Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2020 membabitkan tiga perayaan berkuat kuasa.

Pengarah Pejabat KPDNHEP WPKL, Ariffin Samsudin berkata, pemeriksaan membabitkan 180 pegawai dan kakitangan itu akan dilakukan untuk 10 barangan ditetapkan dalam skim itu bagi memastikan kenaikan harga melebihi paras maksimum diambil tindakan.

“Ini amalan biasa apabila kami melakukan pemeriksaan pada bila-bila masa walaupun pada 10 malam selagi premis sama ada runcit mahupun borong masih beroperasi dan sepanjang SHMMP, pemeriksaan akan dilipat gandakan.

“Malah pemeriksaan akan dilakukan pada hari pertama Aidilfitri terutama jika premis terbabit disyaki melanggar SHMMP berdasarkan aduan diterima.

“Berbanding 11 barangan diumumkan Menteri (Datuk Alexander Nanta Linggi) kelmarin, WPKL hanya terbabit dengan 10 barangan jadi pemeriksaan akan hanya membabitkan 10 barangan ini,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

ARIFFIN (kanan) memantau barangan di pusat beli-belah Sogo Kuala Lumpur, hari ini. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.
ARIFFIN (kanan) memantau barangan di pusat beli-belah Sogo Kuala Lumpur, hari ini. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.

Senarai 10 barangan dalam SHMMP 2020 itu adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging lembu tempatan, daging kerbau import, kelapa biji, kelapa parut serta telur gred A, B dan C.

Manakala satu lagi barangan iaitu daging lembu import hanya dikawal di Sarawak.

Mengulas perkembangan SHMMP, Ariffin berkata, bermula hari pertama pelaksanaan skim itu semalam, sejumlah 223 premis diperiksa setakat 12 tengah hari, hari ini.

Beliau berkata, hanya satu kes direkodkan iaitu peniaga di Taman Tun Dr Ismail yang menjual ayam standard pada harga RM9 sekilogram.

“Alhamdulillah setakat ini peniaga patuh pada SHMMP, namun itu bukan bermakna kita selesa. Hakikatnya tiada jaminan peningkatan harga tidak akan berlaku di pasaran meskipun bekalan mencukupi.

“Oleh itu, saya ingin mengingatkan peniaga supaya mematuhi harga ditetapkan dalam skim ini atau tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya.