Perak usaha bantu gelandangan

KERAJAAN negeri Perak sedang berusaha untuk menyediakan tempat perlindungan buat gelandangan dalam tempoh terdekat bagi menangani penularan wabak Covid-19.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tindakan segera dibuat susulan laporan media mengenai kumpulan gelandangan di Bandaraya Ipoh meningkat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita paling risau kes (gelandangan) yang terdampar ini, yang sudah tiada pekerjaan, tidak mampu membayar sewa bilik dan sebagainya dan terpaksa menjadi gelandangan.

“Perkara ini mesti kita ambil tindakan bantuan segera. Insya-Allah dalam minggu ini, kita tidak boleh membiarkan mereka keluar merata-rata kerana bimbang mereka boleh terjangkit dan boleh menjangkiti orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas turun padang memantau badan bukan kerajaan (NGO) menyampaikan bantuan kepada gelandangan di sekitar Bandaraya Ipoh, petang tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Datuk Dr Norashikin Wan Noordin.

Ahmad Faizal berkata, berdasarkan maklumat NGO dan orang ramai yang menghulurkan sumbangan, bantuan makanan kepada gelandangan bertambah daripada lebih 50 bungkusan kepada 100 ketika PKP ini.

Katanya, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada orang perseorangan dan NGO yang memberi bantuan kepada gelandangan selama ini.

“Mungkin ada yang bukan gelandangan dan hanya mengambil kesempatan, kita akan melihat berapa ramai jumlah gelandangan sebenar di sekitar Bandaraya Ipoh dan juga bandar lain di negeri ini.

“Kita akan mencari jalan bagaimana untuk membantu mereka terutama waktu PKP ini dan juga selepas PKP ditarik semula.

“Bagaimana kita dapat bantu mereka untuk mendapatkan tempat tinggal, pekerjaan dan sebagainya,” katanya.

Katanya, pihaknya sedang merangka bentuk bantuan dan mengambil contoh seperti dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan