Penyamun yang gagal

TIGA lelaki ditahan polis beberapa jam selepas gagal memecah peti besi mengandungi wang RM20,000 di sebuah kedai serbaneka di Jalan Sultanah, Batu Pahat, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, ketiga-tiga suspek ditangkap dalam masa tidak sampai empat jam selepas menerima laporan kejadian kira-kira 10 pagi.

“Kesemua suspek berusia 19 hingga 23 tahun itu ditahan di kediaman mereka di dua lokasi berasingan di daerah ini.

“Siasatan awal mendapati dua daripada suspek adalah bekas pekerja kedai serbaneka terbabit dan ia memudahkan mereka untuk memecah masuk premis berkenaan,” katanya ketika sidang media, hari ini.

Katanya, polis turut merampas pelbagai perkakasan untuk memecah masuk premis dan pecah peti besi serta beberapa barang curi hasil perbuatan jenayah berkenaan.

“Antara yang dirampas adalah mesin pemotong grinder, besi kuku kambing, beg galas serta beberapa aksesori telefon bimbit dan barangan elektronik.

“Semakan juga mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan hasil keputusan daripada ujian air kencing juga negatif,” katanya.

Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 17 Mei depan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 14 tahun selain denda serta sebatan.