Penunggang motosikal putus kaki kanan

PENUNGGANG motosikal berusia 20-an putus kaki kanan selepas dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan dekat Chembong, Rembau, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, kemalangan membabitkan motosikal, kereta dan lori berlaku di Kilometer 23, Jalan Seremban-Tampin, dekat Chembong, kira-kira jam 8.30 malam.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika Honda Accord dipandu seorang lelaki berusia 30-an cuba memotong sebuah lori di hadapannya tetapi gagal lalu merempuh motosikal dari arah bertentangan.

“Rempuhan itu menyebabkan motosikal terbabit terbabas sebelum melanggar bahagian belakang lori.

“Kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal cedera parah dan putus kaki kanan.

“Pemandu lori berusia 50 tahun dan pemandu Honda Accord serta penumpang lelaki tidak mengalami kecederaan,” katanya hari ini.

Menurutnya, polis masih dalam usaha mengesan pemandu Honda Accord yang meninggalkan lokasi kemalangan selepas berlaku perbalahan antara penumpang kereta dengan orang ramai yang menyaksikan kejadian.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan berkata, mangsa dibawa ambulans ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban untuk menerima rawatan.