Penunggang maut rempuh SUV

PENUNGGANG motosikal maut selepas merempuh kenderaan sukan pelbagai guna (SUV) di persimpangan Melaka-Kandang, hari ini.

Dalam kemalangan 1 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Shafudin Ab Manan, 22, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, ketika kejadian Muhammad Shafudin dalam perjalanan dari arah Muar menghala ke arah bandar Melaka, manakala SUV dipandu seorang lelaki berusia 46 pula menuju ke arah Kandang.

“Semasa lampu isyarat bertukar hijau SUV terbabit membelok ke kanan menuju ke Kandang.

“Bagaimanapun, motosikal Yamaha Y15ZR (Ysuku) ditunggang mangsa gagal dikawal lalu merempuh tepi sebelah kiri kenderaan berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, Muhammad Shafudin parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu SUV terbabit tidak cedera,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.