Penoreh getah rugi hampir RM150,000

PENOREH getah di Temerloh terpaksa menanggung kerugian RM141,590 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan syarikat telekomunikasi dan pegawai polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula pada 27 April lalu apabila mangsa lelaki, 59, menerima panggilan telefon daripada suspek yang mendakwa kakitangan syarikat telekomunikasi.

“Suspek mendakwa mahu memotong talian Internet mangsa kerana disalahguna untuk tujuan judi dalam talian.

“Seterusnya panggilan disambungkan kepada pihak polis dan mangsa bercakap dengan Tuan Poo,” katanya dalam satu kenyataan di Temerloh, hari ini.

Beliau berkata, Tuan Poo menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp kepada mangsa dan memberitahu penoreh getah itu juga sudah disenarai hitam kerana terlibat dengan perjudian dalam talian.

“Tidak lama kemudian mangsa menerima nombor TAC yang dihantar kepadanya sebelum Tuan Poo meminta nombor berkenaan kononnya bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

“Mangsa menyerahkan nombor TAC berkenaan kepada suspek. Namun semalam mangsa mendapati wang dalam akaunnya sebanyak RM141,590 sudah lesap dalam simpanan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat semakan di bank dan mendapati berlaku lima transaksi wang bermula 28 April hingga 4 Mei lalu.

“Mangsa ada menghubungi Tuan Poo dan suspek mendakwa akan mengembalikan wang berkenaan selepas siasatan selesai namun mangsa yang mensyaki dirinya sudah ditipu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di sini, semalam.

“Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika disabitkan kesalahan,” katanya.

tamat

From: Shahrinnahar Latib