Penjara setahun, denda RM5,000 sebab nak bakar rumah bapa

PENGANGGUR dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Jelebu hari ini, selepas didapati bersalah melakukan khianat dengan api ke atas rumah milik bapanya pada 25 Mei lalu.

Majistret Rahimah Rahim menjatuhkan hukuman berkenaan ke atas Salem Sharwan Mohd Sabri, 33, dari Simpang Durian selepas tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia pada 25 Mei, jam 2 pagi di sebuah rumah di Simpang Durian didapati melakukan khianat dengan niat membinasakan rumah kepunyaan bapanya sehingga menyebabkan kerugian RM1,000.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, bapa tertuduh mendapati langsir tingkap ruang tamu rumah terbakar dan kemudian dipadamkan olehnya.

Bapa tertuduh turut mendapati sofa panjang, karpet dan dinding tingkap turut mempunyai kesan terbakar sebelum bertanya kepada tertuduh mengenai kejadian itu.

Bapa tertuduh kemudian membuat laporan polis dan hasil siasatan, tertuduh mengaku melakukan perbuatan khianat berkenaan.

Rahimah turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama lima bulan jika gagal membayar denda.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.