Pengusaha air nira hilang pendapatan

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu turut menjejaskan pendapatan pengusaha air nira kelapa di Kampung Baru Rhu Muda, Marang.

Pengusahanya, Mohd Mat Amin, 63, berkata dia kehilangan pendapatan sejak PKP apabila bekalan air nira tidak mendapat sambutan.

“Rata-rata peniaga air nira tidak berniaga sepanjang PKP seterusnya menyebabkan bekalan air nira tidak terjual.

“Biasanya dua minggu sebelum Ramadan, bekalan air nira tidak mencukupi dan permintaan sangat tinggi.

“Tetapi sekarang banyak bekalan air nira tidak terjual dan terpaksa disimpan di dalam peti sejuk beku bagi menjamin ketahanannya,” katanya.

Mohd berkata, berikutan sambutan berkurangan, dia mengurangkan aktiviti mengambil air nira sepanjang PKP.

Menurutnya, biasanya dia mengambil air nira sebanyak dua kali sehari tetapi sejak PKP, dia hanya mengambilnya sekali seminggu.

“Jika diikutkan, saya tidak mahu meneruskan usaha mengambil air nira itu, tetapi pekerjaan ini sudah sebati dengan diri saya selain pokok kelapa hanya berada di hadapan rumah.

“Sekarang saya tiada pendapatan langsung kerana air nira tidak terjual menyebabkan terpaksa berharap kepada sumbangan orang ramai sepanjang PKP,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan