Pengesahan JPPM penutup isu siapa Pengerusi Bersatu

PENGESAHAN Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) bahawa peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Februari lalu adalah sah mendapat reaksi pelbagai daripada ketua-ketua bahagian parti berkenaan.

Ketua Bahagian Bersatu Wangsa Maju, Mohammed Ridzal Mohd Kamal Ghazalee berkata, surat makluman berkenaan adalah dokumen rasmi dan ia perlu dipatuhi.

Katanya, ketika ini ahli parti perlu memberi sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memangku jawatan berkenaan sebagaimana diperuntukkan dalam perlembagaan parti.

“Pada masa sama, ahli juga berterima kasih kepada Tun kerana jasanya sepanjang berada di dalam parti,” katanya.

Ketua Bahagian Bersatu Seputeh, Mohd Badrul Ezzan berkata, sewajarnya isu jawatan pengerusi ini tidak menjadi perdebatan kerana ia sudah dianggap selesai.

“Buat masa ini, surat JPPM adalah terpakai dan selepas selesai pemilihan parti, jika Dr Mahathir diumum sebagai pengerusi, kita akur,” katanya.

Sementara itu Ketua Bahagian Bersatu Larut, Mohd Hassuandi Hamzah berkata, isu berkenaan sudah dijelaskan pimpinan parti termasuk Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan ia tidak perlu diperdebatkan.

Katanya, pihaknya juga sudah diberi penerangan mengenai isu itu oleh Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin baru-baru ini dan menerima keputusan JPPM itu.

“Pada saya tiada lagi isu. Ia jelas, kedudukan Presiden sebagai pemangku juga ada dalam perlembagaan parti,” katanya.

Semalam tular di media sosial surat bertarikh 4 Mei yang memaklumkan peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu adalah sah.

Selain itu, Ketua Pengarah JPPM Masyati Abang Ibrahim mengesahkan jawatan itu berhak disandang Muhyiddin selaras dengan peruntukan perlembagaan parti itu.