Pengedar ditahan, ganja dirampas

LELAKI dipercayai pengedar dadah ditahan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dalam satu operasi khas di kawasan Taman Tasik Seremban, semalam.

Hasil penahanan lelaki itu juga membolehkan polis menemui 1,070 gram dipercayai ganja bernilai kira-kira RM10,700.

Ketua JSJN Negeri Sembilan Superintendan Pang Jin Lai berkata, lelaki terbabit ditahan ketika menaiki kereta di kawasan berkenaan dan pemeriksaan awal terhadap kenderaannya itu ditemui ganja seberat 460 gram.

“Berpandukan kepada suspek, pasukan serbuan kemudiannya membuat pemeriksaan di sebuah rumah di kawasan Temiang dan menemui lagi ganja seberat 610 gram.

“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis ganja THC atau Tetra Hydrocannibol selain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau sama ada jenayah atau narkotik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pang berkata, suspek kini direman sehingga 19 April di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban bagi tujuan siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Menurutnya, JSJN turut berjaya menahan tiga lelaki dalam dua serbuan berasingan di sekitar Seremban kerana memiliki ganja.

Katanya, mereka itu ditahan mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

“Ujian air kencing terhadap semua suspek mendapati mereka positif dadah jenis ganja THC dengan seorang daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau narkotik,” katanya.