Pengalaman unik ‘beraya’ di SJR

“BERKONGSI menyambut Aidilfitri di sekatan jalan raya (SJR) bersama rakan setugas adalah kenangan terindah sukar dilupakan,” kata pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, Inspektor Mohamad Afham Zulkipli.

Mohamad Afham, 30, berkata, biarpun tidak dapat berhari raya bersama keluarga, namun rakan anggota polis dan tentera menjadi pengganti dalam berkongsi suasana Aidilfitri dan menjadikannya tetap meriah.

Menurutnya, ada antara anggota polis dan tentera itu berasal dari Sarawak, Sabah, Pahang, Kelantan serta Kedah dan mereka berkongsi cerita suasana pagi Aidilfitri bersama juadah istimewa.

“Lemang, ketupat, rendang selain pelbagai kuih muih turut dibawa masing-masing dan kami berkongsi jamuan juadah pagi Aidilfitri.

“Sebelum ini, kami turut bersahur dan berbuka puasa bersama ketika Ramadan dan sudah tentu kenangan ini sukar dilupakan sehingga akhir hayat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pula,” katanya ketika ditemui di SJR di Jementah, Segamat, hari ini.

Menurutnya, Aidilfitri tahun ini memang berbeza berikutan orang ramai perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP ) PKBP.

Katanya, tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat orang ramai cuba merentas negeri termasuk dikompaun dan diarahkan berpatah balik ke tempat asal dengan segera.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan