Penerbangan dari Labuan, KL – Miri dikurangkan

KERAJAAN Sarawak memutuskan untuk mengurangkan penerbangan dari Kuala Lumpur-Miri-Kuala Lumpur dua kali seminggu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) hari ini menetapkan dua penerbangan itu ialah pada Khamis dan Ahad.

“JPBN juga menetapkan bilangan penerbangan dari Labuan ke Miri akan dikurangkan kepada tiga kali seminggu iaitu hari Isnin, Khamis dan Sabtu sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP,” katanya.

Beliau yang mewakili Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata demikian pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya hari ini.

Selain itu, JPBN juga memutuskan semua kilang pemprosesan rumbia di negeri ini dibenarkan beroperasi mulai jam 7 pagi hingga 7 malam.

Keputusan itu menyusul selepas kebenaran diberikan kepada kedai kelengkapan logam, kedai input pertanian dan kedai alat ganti jentera pertanian untuk beroperasi dua kali seminggu pada mesyuarat Ahad lalu.

Semalam pula, JPBN membenarkan bengkel kereta dan motosikal, kedai alat ganti kenderaan, tayar dan bateri beroperasi dua hari seminggu iaitu pada Selasa dan Khamis bermula jam 7 pagi hingga 7 malam.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, seramai 285 rakyat Sarawak yang pulang dari luar negara, Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan kini ditempatkan di pusat kuarantin sejak Ahad lalu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan