Penduduk ‘terkurung’ dakwa agihan makanan tidak sistematik

BEKALAN makanan yang disalurkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tujuh kampung di Hulu Langat didakwa tidak teratur sekali gus menyebabkannya tidak mencukupi.

Ketua Kampung Batu 21, Mohd Razak Jalaludin, 52, berkata penduduk kini mula menyuarakan kebimbangan berhubung agihan barangan makanan di semua kampung berkenaan.

“Bantuan yang diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanyalah barang keperluan asas seperti beras, gula, garam, tepung dan makanan dalam tin.

“Penduduk terpaksa memohon bantuan dari luar seperti badan bukan kerajaan (NGO) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mendapatkan bekalan barang basah seperti ikan, ayam dan barangan lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Razak berkata, selepas bekalan asas berkenaan habis, barulah JKM membuat agihan bekalan lain seperti minyak masak, bawang dan lada.

“Kalau difikir logik, macam mana nak masak jika bantuan diberi tanpa minyak masak? Bila dah habis bantuan pertama, baru diagihkan minyak, takkan penduduk kampung nak makan minyak masak.

“Penduduk kampung tidak ramai yang makan makanan berasaskan tin disebabkan penyakit yang dialami.

“Kami orang kampung bukan orang bandar, cukuplah bagi penduduk minyak masak, cili, bawang beras dan keperluan barang basah,” katanya.

Menurutnya, ada penduduk yang terpaksa memotong ikan kepada empat bahagian bagi memastikan bekalan mereka di rumah terus mencukupi.

“Bila kita minta bantuan luar, bantuan akan tiba di pusat kawalan yang dijaga JKM dan akan mengambil masa yang terlalu lama untuk sampai kepada penduduk.

“Barang keperluan basah dibekalkan NGO setiap hari, namun ia akan menyusahkan NGO berkenaan,” katanya.

Katanya, dia mahu pihak berkaitan menyelesaikan isu terbabit dengan segera kerana sudah ramai penduduk kampung menyuarakan perkara ini.

“Sistem pengagihan perlu teratur dengan barang yang perlu sahaja diberi kepada penduduk.

“Kami tidak boleh keluar dari rumah, termasuk saya sendiri berada di dalam rumah atas arahan polis,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan