Penduduk Simpang Renggam terima bantuan

SEJUMLAH 3,000 kilogram (kg) beras dan tepung sudah diagihkan kepada penduduk terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua kawasan di Simpang Renggam, dekat sini, malam tadi.

Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) , Abdul Wahab Rahim, berkata agihan berkenaan dilakukan 30 anggotanya bersama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, turut membantu agihan berkenaan adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) selain Malaysian Relief Agency (MRA) Johor.

“Sebanyak 3,000 kg beras dan tepung, 2,000 kg gula selain bekalan makanan kering termasuk minyak masak, telur, sardin selain makanan basah iaitu sayuran sudah diagihkan kepada 663 rumah atau keluarga di dua kawasan PKPD Simpang Renggam.

“Agihan akan dilakukan setiap tiga hari sekali atau mengikut permintaan keperluan isi rumah yang akan diselaraskan JKM di pusat operasi di Dewan Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR).

“APM juga menempatkan 30 anggota APM di kawasan PKPD Simpang Renggam membabitkan anggota dari Ibu Pejabat, Johor dan Pulau Pinang yang sedia dikerahkan bagi melincinkan operasi di dua kawasan terjejas sepanjang PKPD ini, ” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, malam Khamis lalu dilaporkan mengumumkan, dua kawasan penduduk di Simpang Renggam, Johor menjadi lokasi pertama dikenakan PKPD mulai tengah malam berkenaan, selepas 61 penduduknya dikesan positif Covid-19.

Dua kawasan itu membabitkan Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang.

Semalam, JKM dilaporkan memperuntukkan 3,000 pek makanan asas untuk penduduk di Kampung Datuk Ibrahim Majid serta kampung rangkaian yang terbabit dalam PKPD yang dikuatkuasakan bermula Jumaat.

Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, dilaporkan berkata selain peruntukkan yang dikelolakan JKM, pelbagai agensi lain termasuk kerajaan negeri sudah menyediakan dana memastikan semua penduduk kampung terbabit dalam PKPD ini dapat menjalani kehidupan harian seperti biasa walaupun tidak boleh keluar dari kediaman masing-masing.