Penduduk Simpang Renggam akan terus dibantu

PENDUDUK di Bandar Baru Ibrahim Majid (BBIM) dan Kampung Datuk Ibrahim Majid (KDIM), Simpang Renggam diharap bersabar dan tabah selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di kawasan mereka dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Abd Taib Abu Bakar berkata, segala yang diputuskan oleh kerajaan ini ada hikmah disebaliknya dan ia sudah tentu untuk kebaikan rakyat keseluruhannya.

“Walaupun pelaksanaan PKPD selama 14 hari sebelum ini menampakkan kejayaan namun kita harus percaya apa yang dilakukan kerajaan ada sebab tertentu bagi membolehkan dua penempatan ini bersih sepenuhnya daripada Covid-19.

“Kerajaan akan terus memberi bantuan termasuk bekalan makanan asas dan keperluan harian.

“Apa yang perlu kita lakukan adalah patuhi setiap arahan serta pelaksanaan PKPD ini bagi membolehkan apa yang dirancang kerajaan untuk kepentingan semua ini membuahkan kejayaan,” katanya.

Abd Taib berkata demikian ketika ditemui selepas mengagihkan bekalan makanan asas kepada penduduk kampung di sekitar pekan Machap dekat sini hari ini.

Menurutnya, petugas barisan hadapan turut bekerja keras dalam memastikan wabak berakhir selain rakyat memperoleh sokongan dan bantuan sepatutnya.

“Penduduk jangan sesekali bimbang tentang bekalan makanan dan sebagainya sepanjang tempoh perlanjutan PKPD ini kerana semuanya sudah diatur gerak seperti sebelum ini.

“Akhir sekali, saya menyeru semua penduduk di BBIM dan KDIM khasnya dan Simpang Renggam amnya supaya tidak putus berdoa kepada Allah SWT supaya musibah ini segera berakhir,” katanya.

gambar:

1- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Abd Taib Abu Bakar (kiri) ketika menyerahkan sumbangan bekalan makanan asas kepada penduduk di Pekan Machap, Simpang Renggam.

Berita berkaitan:

  • Dilanjut hingga 14 April
  • Lagi berita berkaitan Covid-19