Penarik beca, pemandu bot dapat sumbangan

SERAMAI 199 penggiat pelancongan yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan mendapat sumbangan ‘one off’ daripada kerajaan negeri dalam tempoh terdekat.

Mereka terdiri daripada penarik beca, pemandu bot penambang, pemandu pelancong bandar dan semula jadi serta malim gunung akan menerima sumbangan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya sedia maklum dengan nasib penggiat pelancongan yang kehilangan sumber pendapatan sepanjang PKP.

“Jumlah sumbangan masih dalam perbincangan dan akan diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam tempoh terdekat.

“Jika diikutkan mereka semua sudah mendapat sumbangan melalui bantuan tertentu seperti Pakej Rangsangan Terengganu Cakna Fasa Satu hingga Empat dan Bantuan Prihatin Nasional.

“Bagaimanapun sumbangan tambahan itu sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) terhadap penggiat pelancongan yang terjejas kerana PKP,” katanya pada sidang media Pelan Cakna Rakyat dalam Menangani Wabak Covid-19 bagi Sektor Pelancongan Negeri, di Kuala Terengganu, hari ini.

Ariffin berkata, pihaknya berharap sumbangan yang akan diserahkan dapat membantu meringankan beban penerima.

“Kami sudah menyenaraikan penerima yang paling terkesan iaitu seramai 48 penarik beca, 17 pemandu bot penambang, 99 pemandu pelancong dan 35 malim gunung di Dungun.

“Penerima sumbangan itu ialah kumpulan yang paling terjejas dan tidak boleh menjalankan kegiatan dan perkhidmatan masing-masing sepanjang PKP sejak 18 Mac lalu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan