Pemilik tuntut Cico

LELAKI yang tular di media sosial selepas berjalan sejauh 124 kilometer bersama seekor anjing dinamakan Cico dikejutkan apabila seorang individu mendakwa dia pemilik haiwan itu dan mahu menuntutnya.

Alixson Magundok, 35, berkata, individu terbabit menghubungi dia malam tadi sebaik melihat gambarnya bersama Cico tersebar di Facebook (FB).

“Dia ada mengatakan nama asal Cico adalah Kutu kerana dua bulan lalu anjing itu ditemui dalam keadaan berkutu, comot dan cedera sebelum dia merawatnya.

“Bagaimanapun, anjing itu merayau di sekitar Kolombong dan hilang pada tarikh sama (26 Mac) ketika saya berjalan dan melalui lokasi berkenaan,” katanya.

Menurutnya, walaupun berat hati, dia memang merancang menyerahkan Cico kerana akan ke luar negara untuk bekerja semula.

“Saya yakin, selepas mendengar penjelasannya serta melihat beberapa gambar membuktikan dia pemilik Cico sebelum ini.

“Namun sebelum kembali ke luar negara, biarlah saya mengisi masa lapang bersama Cico dulu. Tambahan pula, pergerakan terbatas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan,” katanya.

Alixson yang berasal di Kampung Menggaris 2, berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) juga menemuinya memaklumkan keputusan saringan Covid-19 dari Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

“Syukur, keputusan menunjukkan negatif tetapi saya tidak akan berganjak dari pondok sementara menunggu keputusan saringan di Hospital Kota Marudu.

“Sekiranya keputusan saringan adalah sama dari Hospital Kota Marudu, barulah saya akan pulang untuk berjumpa anak-anak saya di rumah,” katanya.

Sejak kelmarin, kisah perjalanan Alixson serta Cico tular di laman sosial dan rata-rata netizen memujinya apabila tindakannya yang baru tiba dari Jepun, bergegas menjalani saringan sebanyak dua kali selain berjalan sejauh 124 kilometer untuk mematuhi PKP termasuklah menjaga jarak antara orang lain.

Malahan, netizen turut berpendapat, Cico yang menemaninya meredah perjalanan bukan secara kebetulan sebaliknya sebagai pelindung apabila dikaitkan dengan lawatan Alixson di tugu peringatan anjing Hachiko di Osaka, Jepun.

Berita berkaitan

• 3 hari berjalan balik kampung