Pemilik bot nelayan kongsi rezeki

HAMPIR 50 pemilik bot nelayan di Kuantan mengambil inisiatif mengedarkan ikan segar secara percuma bagi memastikan golongan terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih mempunyai sumber protein dalam menu harian mereka.

Wakil pemilik bot itu Abdul Rahim Abdul Rahman, 56, berkata, sejak dimulakan pada Khamis lalu, mereka mengagihkan 7,000 kilogram (kg) hasil laut kepada penduduk sekitar yang diketahui mengalami masalah kewangan akibat PKP.

“Ikan yang diagihkan ialah ikan baharu daripada bot nelayan yang keluar ke laut pada tengah malam sebelumnya. Mereka selalu pulang selepas subuh dan seawal 7 pagi, kami sudah berkumpul untuk membantu memasukkan ikan ke dalam plastik.

“Setiap isi rumah yang dikenal pasti akan menerima antara satu ke satu setengah kg hasil laut seperti ikan selayang, cencaru, selar, pelaling dan jika ada rezeki lebih, kami turut memberikan sotong,” katanya kepada pemberita di jeti Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuantan, hari ini.

Abdul Rahim berkata, proses membungkus yang turut dibantu pekerja bot nelayan lazimnya selesai sekitar 8 pagi dan akan terus dihantar ke kawasan sekitar daerah Kuantan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Katanya, antara kawasan itu ialah Indera Mahkota, Sungai Lembing, Cenderawasih, Kampung Tiram, Bukit Setongkol, Taman Impian dan Felda Panching dengan penerimanya terdiri daripada pelbagai latar belakang kerana ‘lapar tidak mengenal kaum atau agama’.

“Selain memberikan hasil laut secara percuma, ada pemilik bot yang membenarkan kami menggunakan tong ikan mereka secara percuma, sedangkan ia selalunya disewakan.

“Kami juga sepakat untuk membuat kutipan derma bagi membeli keperluan asas seperti beras dan minyak masak untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan dalam masa terdekat,” katanya.

Abdul Rahim berkata, semua pemilik bot sepakat untuk meneruskan usaha itu sehingga tamat PKP dan mereka juga mendapat kerjasama penduduk setempat yang lebih mengetahui siapa yang memerlukan bantuan berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan