Pemecatan Dr Maszlee tak ikut perlembagaan parti

PARTI Bersatu Bahagian Simpang Renggam berpendirian bahawa pemecatan Dr Maszlee Malik sebagai ahli parti itu sebagai tidak sah kerana tidak mengikut perlembagaan parti.

Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Simpang Renggam, Mahmood Kassim berkata, pihaknya menolak sekeras-kerasnya tindakan itu kerana Setiausaha Kerja Parti Bersatu, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya gagal menjelaskan pihak yang bertanggungjawab dan berkuasa memecat ahli menerusi surat dikeluarkan.

Katanya, Muhammad Suhaimi yang menjawat jawatan Setiausaha Kerja hanya bertanggungjawab dalam urusan pengurusan pejabat parti yang tidak diiktiraf dalam perlembagaan parti.

“Dr Maszlee juga tidak pernah dipanggil oleh Lembaga Disiplin untuk sesi pendengaran dan beladiri untuk membuktikan perbuatan mereka adalah menyalahi perlembagaan parti.

“Fasal 10.2.2 Perlembagaan Parti Bersatu secara cuai disalah tafsirkan oleh beliau kerana melaluinya menyatakan bahawa keahlian parti terhenti apabila ahli mengisytiharkan keluar dari parti,” katanya melalui kenyataan kepada media hari ini.

Dalam pada itu, Mahmood berkata, fasal 10.2.3 menyatakan keahlian terhenti jika ahli menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain.

“Sehingga tarikh surat itu dikeluarkan Dr Maszlee yang juga Ketua Bersatu Bahagian Simpang Renggam belum pernah mengisytiharkan keluar dari parti, dan ini bermakna Fasal 10.2.2 tidak boleh digunapakai dalam situasi ini.

“Kedudukan beliau di dalam blok pembangkang dalam Dewan Rakyat adalah perkara berbeza dan tidak boleh dianggap sebagai menyertai sesebuah parti kerana keahlian parti dan keahlian Dewan Rakyat adalah dua perkara berlainan menyebabkan Fasal 10.2.3 juga tidak boleh diguna pakai dalam situasi ini,” katanya.

Justeru itu, Mahmood menggesa Presiden parti mengeluarkan sepucuk surat membatalkan surat pemecatan itu selain mengambil tindakan tegas di atas kecuaian Muhammad Suhaimi sebagai Setiausaha Kerja Bersatu yang mencemarkan imej parti dengan melakukan penyalahgunaan kuasa ini.

Berita berkaitan

• Muhammad Suhaimi pula dipecat

• Saya berserah – Syed Saddiq

• ‘Dangkal, tidak munasabah’

• ‘Digugurkan keahlian, bukan dipecat’

• Tun M dipecat dari Bersatu