Pemandu pengsan nyaris rentung

SEORANG lelaki nyaris rentung selepas pengsan dalam kereta dipandunya yang terbakar sejurus terbabit kemalangan di Kilometer 34, Jalan Kota Samarahan-Sadong Jaya, semalam.

Mangsa bernasib baik kerana sempat diselamatkan orang ramai dalam kejadian jam 11.20 pagi itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kereta Proton Wira yang dipandu lelaki berusia 39 tahun itu dalam perjalanan dari Kota Samarahan ke Sadong Jaya.

Katanya, mangsa dikatakan gagal memotong kenderaan di hadapannya lalu bertembung dengan sebuah Perodua Myvi kereta.

“Pemandu Perodua Myvi, seorang lelaki berusia 21 tahun itu cuba mengelak ke kanan, namun dilanggar di bahagian hadapan sebelah kiri kenderaan.

“Akibat dari perlanggaran itu Perodua Myvi berpusing di tengah jalan, manakala kereta Proton Wira terbabas ke sebelah kanan jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexson berkata, pemandu kereta Proton Wira tersepit di dalam kenderaan dan diselamatkan orang ramai sebelum keretanya terbakar.

“Pemandu kereta Perodua Myvi yang luka di kaki kiri serta dua rakannya yang mengalami kecederaan di dada dan luka di bahagian tangan dikejarkan ke klinik Sadong Jaya untuk rawatan.

“Pemandu Proton Wira yang cedera di kaki kiri dibawa ke klinik Asajaya untuk rawatan dan kemudian dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutsn Jalan(APJ) 1987.