Pemandu Myvi lawan arus, sebabkan kematian ditahan

PEMANDU Perodua Myvi yang melawan arus hingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal berhampiran susur masuk Jambatan Pulau Pinang, Jumaat lalu, ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata lelaki berusia 35 tahun itu menyerah diri di Balai Polis Trafik Bukit Mertajam pada jam 5 petang bagi membantu siasatan.

Shafee berkata, pemandu yang menetap di Kepala Batas, mendakwa dia memandu melawan arus kerana menyangka laluan itu adalah jalan dua hala.

“Ujian saringan air kencing dan alkohol yang dilakukan ke atas lelaki itu mendapati dia bebas daripada bahan terlarang malah mendakwa dia tidak mabuk ketika kemalangan terbabit.

“Lelaki berkenaan kini direman sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan kemalangan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jumaat lalu, media melaporkan seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu secara melawan arus.

Dalam kejadian jam 10.35 pagi itu, Perodua Myvi yang dipandu individu tidak dikenali dikatakan merempuh dua motosikal di laluan berkenaan.

Akibat pelanggaran itu menyebabkan seorang penunggang motosikal yang dikenali Muhamad Hafiz Bakri, 31 meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa, Lim Kar Tian, 34 patah kaki kiri.

Shafee berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Berita berkaitan

• Polis buru Myvi lawan arus, sebabkan kematian