Pelajar Malaysia di luar negara tidak disaran pulang [METROTV]

PELAJAR Malaysia yang berada di luar negara disaran untuk terus kekal berada di negara pengajian masing-masing.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, merujuk kepada isu membabitkan pelajar Malaysia di luar negara, Wisma Putra melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara sentiasa berhubung dengan Education Malaysia (EM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta wakil komuniti pelajar Malaysia di luar negara.

“Ini bagi mendapatkan perkembangan terbaharu seterusnya memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan pelajar yang terkandas ini diberi perhatian sewajarnya.

“Buat masa ini, JPA menerusi kenyataan pada 29 Mac 2020, telah memaklumkan bahawa kesemua pelajar tajaan JPA di luar negara, dinasihatkan untuk kekal berada di negara pengajian masing-masing.

“Pelajar juga diingatkan supaya bertenang, tidak panik, menjaga kesihatan diri dan mematuhi segala arahan universiti, pihak berkuasa tempatan serta berhubung rapat dengan kedutaan Malaysia,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini berkaitan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara di sini, hari ini.

Datuk Kamarudin Jaffar
Datuk Kamarudin Jaffar

Beliau berkata, MARA juga tidak menyarankan pelajar asing untuk pulang ke negara masing-masing dan pertimbangan ini dibuat selepas menilai risiko semasa pergerakan dan penerbangan serta menilai isu logistik berkaitan secara mendalam.

Selain itu, pelajar yang menuntut di USMKLE International Medical Programme, Belgaum, India juga disarankan untuk kekal di kampus.

“Pihak USM-KLE serta perwakilan Malaysia di sana akan terus menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada pelajar.

“Keselamatan dan kesihatan mereka turut diberi keutamaan sepanjang tempoh yang sukar ini.

“Malah, pihak USM-KLE juga sentiasa berhubung dengan ibu bapa pelajar bagi memaklumkan perkembangan semasa anak masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Lima, Peru yang ditauliahkan serentak ke Bolivia telah berhubung dengan kumpulan rakyat Malaysia yang terkandas di sana bagi memberi bantuan konsular sewajarnya.

Menurutnya, pihak kedutaan Malaysia sedang meneliti alternatif bagi membantu 18 rakyat Malaysia yang terkandas ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19