Pekebun getah, sila tuntut insentif anda

PEKEBUN getah diminta menuntut Insentif Pengeluaran Getah (IPG) berikutan kerajaan sudah memperuntukkan sejumlah RM500 juta bagi tujuan pembayaran subsidi itu tahun ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, berkata, ketika ini hanya kira-kira 20 peratus pekebun getah di seluruh negara membuat tuntutan IPG, sedangkan bantuan itu bertujuan menstabilkan pendapatan mereka.

Katanya, setakat ini hanya RM100 juta subsidi IPG sudah dituntut dan kira-kira RM400 juta peruntukan boleh dituntut pekebun getah yang berhadapan masalah harga tidak stabil.

“Kerajaan menetapkan harga lantai getah sekerap adalah RM2.50 dan apabila harga jatuh bawah dari itu, kita aktifkan IPG bagi membantu penoreh yang terjejas.

“Ini bermakna jika harga getah yang diambil peraih adalah RM1.70 maka penoreh boleh membuat tuntutan 80 sen di bawah subsidi IPG, tetapi masih ramai tidak berbuat demikian.

“Bagi menggalakkan penoreh membuat tuntutan IPG, kita akan memudahkan proses berkenaan dan mereka boleh menggunakan alat pendaftaran insentif getah bagi pengesahan,” katanya ketika ditemui ketika melawat Pusat Belian Getah, Kampung Luar, Siong di Baling, hari ini.

Untuk rekod, penoreh getah berdepan masalah membuat tuntutan IPG apabila perlu ke pejabat Lembaga Getah Malaysia (LGM) di bandar bagi membuat permohonan menyebabkan ramai tidak berbuat demikian.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, pekebun getah juga digalak menghasilkan getah keping berikutan harganya yang lebih tinggi berbanding sekerap ketika ini.

“Terdapat kira-kira 400,000 pekebun getah ketika ini dan kebanyakan mereka menghasilkan getah sekerap, sedangkan mereka boleh memilih menghasilkan getah keping yang harganya sekali ganda lebih tinggi.

“Akibat kekurangan getah keping, kita terpaksa mengimport bahan itu dari Thailand, sedangkan ia boleh dihasilkan sendiri dalam negara,” katanya.

Sementara itu, Khairuddin menyambut baik keputusan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal apabila membenarkan operasi perladangan dan kilang di enam daerah negeri itu susulan penularan wabak Covid-19.

“Sabah sudah memulakan kembali operasi perladangan mereka dan kita sudah minta mereka ikut prosedur operasi standard bagi mencegah penularan Covid-19 seperti yang dilaksana di semenanjung dan Sarawak.

“Bagaimanapun sekiranya berlaku hanya satu kes jangkitan di ladang, kita akan arahkan ladang dan kilang ditutup serta merta,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan