Peguam wanita didakwa esok

SEORANG peguam wanita akan dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan pecah amanah dalam menguruskan wang hasil jualan rumah dan lot tanah di Mahkamah Petaling Jaya, esok.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek berusia 41 tahun itu adalah peguam yang dilantik dan diamanah menguruskan wang hasil jualan rumah dan lot tanah oleh empat individu berbeza.

“Suspek bagaimanapun menyalahgunakan wang berkenaan untuk kegunaan peribadi dan mengakibatkan empat individu terbabit mengalami kerugian RM340,000.

“Kejadian ini berlaku sekitar tahun 2011 dan 2012 sebelum (suspek) menghilangkan diri. Namun, wanita itu berjaya ditahan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak pada 12 Mei lalu menerusi Op Wanted yang dilancarkan, 1 April lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya akan menuduh peguam itu bersabit empat kes pecah amanah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya jam 9.30 pagi esok pertuduhan kes berkenaan,” katanya.