Peguam hadapi 4 pertuduhan pecah amanah

PEGUAM dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan hari ini atas empat pertuduhan pecah amanah yang membabitkan wang berjumlah lebih RM330,000.

Bagaimanapun, tertuduh, Firdaus Rizal Manan, 40, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan kesalahan pada 13 Julai 2018 bertempat di sebuah bank di Bandar Baharu Teluk Intan.

Sebagai peguam bagi Tetuan Firdaus Rizal & Co dan dalam kapasiti diamanahkan terhadap wang hasil jualan rumah di alamat No 186, Lorong Kaya di Taiping, dia didakwa melakukan pecah amanah jenayah berkaitan harta berkenaan berjumlah RM116,187.88.

Firdaus didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebat dan denda.

Bagi pertuduhan kedua pula, peguam berkenaan didakwa melakukan kesalahan pada hari dan bank yang sama membabitkan wang lebihan hasil pembelian rumah yang sama sebanyak RM18,000.

Dia didakwa mengikut seksyen yang sama dengan pertuduhan pertama.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh didakwa melakukan kesalahan pada 4 Mei 2018 bertempat di Tetuan Firdaus Rizal & Co di Bandar Baharu Teluk Intan, sebagai peguam yang diamanahkan dengan penguasaan harta bernilai RM176,753.88 dan RM19,430.

Dia didakwa melakukan pecah amanah harta berkenaan mengikut seksyen dan boleh dihukum mengikut kes terdahulu.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Azimah Che Ismail yang mengendalikan kes berkenaan kemudiannya memohon mahkamah untuk mengenakan jaminan sebanyak RM30,000 bagi semua pertuduhan.

Bagaimanapun, hakim menetapkan jaminan sebanyak RM2,500 bagi setiap pertuduhan terhadap Firdaus dengan seorang penjamin selepas selepas mendengar rayuan tertuduh yang kurang sihat serta hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda.

Tertuduh di wakili peguam Zamri Mohd Ibrahim.

Norita kemudiannya menetapkan 25 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.