Pecah usus, jatuh tingkat 4

MASIH bernyawa walaupun cedera parah dan pecah usus akibat jatuh terhempas dari tingkat empat sebuah pangsapuri.

Itu nasib dialami seorang lelaki berusia 33 tahun selepas ditemui terbaring di tingkat bawah Pangsapuri Bestari Seri Perantau, Klang, Selangor, jam 1 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung cubaan membunuh diri sebelum segera ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di sana, kelihatan seorang lelaki terbaring dan mengalami kecederaan parah di kaki kiri dan kanan.

“Polis segera menghubungi pihak ambulans untuk membawa mangsa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

“Mangsa yang tidak bekerja itu turut mengalami kecederaan usus pecah,” katanya.

Shamsul Amar berkata, siasatan polis mendapati mangsa terbabit berdepan masalah keluarga dan sedang cuba untuk diselesaikan.

Beliau berkata, sehingga kini tiada laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak dan polis hanya menerima panggilan sahaja mengenai kejadian itu.

Terdahulu, tular di media sosial seperti Facebook dan WhatsApp beberapa gambar mangsa terbabit serta maklumat ringkas mengenai kejadian.