PDT sumbangan RM390,000

PERMODALAN Darul Ta’zim (PDT) menyumbangkan RM390,000 kepada Tabung Bencana Negeri Johor bagi membantu menangani pandemik Covid-19.

Cek sumbangan disampaikan Ketua Eksekutif PDT, Lukman Abu Bakar kepada Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Menurut Lukman, ia adalah salah satu inisiatif di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PDT dalam menangani wabak itu.

“Penularan wabak Covid-19 memberi impak yang sangat besar kepada sosioekonomi rakyat termasuk di negeri Johor.

“Selaku anak syarikat Kerajaan Negeri Johor, PDT mengambil inisiatif untuk bersama-sama membantu menangani krisis akibat wabak ini.

“Malah inisiatif ini juga selari dengan salah satu nilai teras PDT iaitu rakyat adalah menjadi keutamaan kami,” katanya.

Katanya, sumbangan berkenaan juga diharap dapat meringankan beban golongan yang terjejas terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa kedua pelaksanaannya.