PBMains bantu keluarga Saidi

KESEMPITAN hidup dialami keluarga empat beranak apabila tinggal dalam kabin usang berhampiran kandang kambing di Kampung Bemban Jalan Hilir Mambau, Seremban, mendapat perhatian Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan MAINS (PBMains).

Perbadanan itu menyampaikan sumbangan barangan makanan keperluan harian, lampin pakai buang dan bantuan wang tunai RM200 kepada Saidi Che Mat, 33, di perkampungan berkenaan, hari ini.

Ketua Bahagian Kaunseling PBMains, Wan Aminuddin Wan Abdullah berkata, bantuan itu bagi meringankan beban keluarga terbabit yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Beliau berkata, selain itu Saidi dikatakan hilang sumber pendapatan bagi menyara keluarga selepas tempat dia bekerja sebagai pemotong ayam di Rasah sebelum ini tidak lagi memerlukan khidmatnya.

“PBMains tersentuh dengan paparan kisah keluarga Saidi ini semalam dan kami membantu mereka.

“Kami berharap sumbangan ini dapat meringankan beban mereka sekeluarga lebih-lebih lagi dalam persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

Saidi bersama isterinya, Siti Aishah Yaakub, 27, dan anak mereka berusia satu tahun tiga bulan dan enam tahun terpaksa menumpang teduh di kabin usang yang terletak bersebelahan kandang kambing di Kampung Bemban, Jalan Hilir Mambau.

Keluarga itu tidak berupaya untuk berpindah atau menyewa rumah disebabkan kadar sewa tinggi.

Wan Aminuddin berkata, berdasarkan rekod di jabatan itu, pihaknya pernah beberapa kali membantu keluarga terbabit bermula 2011.

Beliau berkata, perbadanan itu turut menjelaskan tunggakan sewa rumah selama tiga bulan berjumlah RM1,200 pada Januari 2019 selain bantuan deposit sewa rumah berjumlah RM1,600 pada Januari tahun ini.