Pastikan baki Touch ‘n Go cukup

 

[email protected]

 

 

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menasihatkan pengguna lebuh raya di Jambatan Pulau Pinang supaya memastikan baki kad Touch ‘n Go mencukupi sekiranya perlu melakukan perjalanan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pegawai Operasi PLUS Zakaria Ahmad Zabidi berkata, sebarang transaksi tambah nilai menerusi pembantu khidmat pelanggan tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19.

“Jika perlu melakukan perjalanan, kami menggesa pelanggan lebuh raya supaya sentiasa memastikan mereka mempunyai baki kad Touch ‘n Go yang mencukupi.

“Bagi memudahkan mereka menambah nilai, pelanggan boleh berbuat demikian di pusat tambah nilai lain seperti mesin ATM, kedai serbaneka serta stesen petrol yang terdapat di sekitar Pulau Pinang dan Seberang Prai.

“Kiosk layan diri turut disediakan di lokasi terpilih sepanjang lebuhraya PLUS,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, langkah menghentikan perkhidmatan tambah nilai di lorong tol sepanjang PKP perlu dilakukan bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19 dalam kalangan pengguna dan petugas.

“PLUS amat memahami kesukaran segelintir pemandu untuk membuat tambah nilai di lokasi lain selain plaza tol.

“Dengan memastikan kad Touch ‘n Go sentiasa mempunyai baki yang mencukupi untuk transaksi tol, ia dapat mengelakkan interaksi langsung bersama pembantu khidmat pelanggan dan pada masa yang sama memastikan penjarakkan sosial dapat dilakukan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan