Pasar raya, kilang di Sabah wajib laksana nyahkuman

SEMUA pasar raya serta kilang pengeluaran makanan di Sabah diwajibkan melaksanakan proses disinfeksi atau penyahkuman sebagai langkah menangani penularan Covid-19.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata, pemilik premis juga diminta mengamalkan tahap kebersihan tertinggi serta langkah pemantauan yang ketat.

“Langkah ini adalah lanjutan daripada arahan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada 18 Mac lalu.

“Premis dan kilang juga hendaklah ditutup serta-merta sekiranya terdapat sebarang jangkitan Covid-19 dan disinfeksi hendaklah dilaksanakan segera,” katanya melalui kenyataan media di Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, Safar menyatakan kerajaan negeri juga mengarahkan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) selaku pihak berkuasa supaya memperketatkan penguatkuasaan selain pihak berkuasa tempatan (PBT) mempergiatkan pemantauan operasi premis di semua pasar raya serta pasar awam seluruh negeri bermula 28 Mac lalu.

Menurutnya, pendekatan itu diambil selepas mengambil kira kesesakan yang berlaku dibeberapa pasar raya serta pasar awam seluruh negeri sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19