Pasar Jalan Othman digempur Imigresen

SELEPAS menggempur tiga kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini menyerbu sekitar Pasar Jalan Othman.

Kawasan itu dikatakan dibanjiri warga asing daripada beberapa negara seperti Pakistan, Bangladesh dan India.

Serbuan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dijalankan bermula jam 9 pagi tadi dan dijangka berakhir tengah hari ini.

Difahamkan, operasi mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) itu dilaksanakan berikutan keseluruhan kawasan yang digempur dipasang kawat duri berikutan perintah PKPD.

Tinjauan Harian Metro mendapati sehingga jam 12 tengah hari, operasi masih berjalan dan tiada sebarang kenyataan dikeluarkan Imigresen setakat ini.

Turut kelihatan ialah Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud dan Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi di lokasi serbuan.

Khairul Dzaimee ketika dihubungi mengesahkan berhubung operasi yang dijalankan.

Warga asing yang ditahan akan disiasat mengikut Peraturan dan Akta Imigresen 1959/1963.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan