Pasar Borong Melaka bebas Covid-19

MAJLIS Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menafikan penutupan Pasar Borong Melaka di Batu Berendam hari ini, disebabkan jangkitan Covid-19 membabitkan peniaga dan pelanggan.

Yang Dipertuanya, Shadan Othman berkata, penutupan pasar berkenaan adalah rutin pada setiap 1 dan 15 hari bulan setiap bulan bagi kerja-kerja pembersihan dan pemantauan tahap keselamatan kawasan berkenaan.

“Pada masa sama, jam 3 petang tadi, MPHTJ juga melakukan kerja-kerja sanitasi awam di pasar berkenaan meliputi semua bahagian.

“Ia mungkin antara faktor isu terbabit tular,” katanya.

Sehubungan itu, Shadan meminta orang ramai supaya memastikan kesahihan sesuatu berita dan menularkannya.

Dalam perkembangan lain, Shadan berkata, MPHT juga aktif menyantuni petugas barisan hadapan menerusi penyerahan makanan moreh di Balai Polis Batu Berendam sekali gus menghargai anggota badan beruniform yang bertugas.

“Ia membabitkan sembilan lokasi serahan termasuk Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Melaka serta Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA) Negeri Melaka,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19