Pagar perkampungan Orang Asli dibuka semula

PAGAR bagi menghalang orang luar masuk ke semua kampung Orang Asli di Gua Musang yang dipasang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah dibuka semula hari ini.

Penghulu Orang Asli Kampung Kuala Lah, Ali Latif berkata, pembukaan pagar jalan masuk ke perkampungan itu bukan bermakna kebebasan sepenuhnya.

Sebaliknya, dia berkata, orang luar yang ingin memasuki kampung itu tetap ditegah atau diberi kebenaran bersyarat selepas mendapat persetujuan penghulu.

“Kami bimbang dengan penularan wabak Covid-19 jika diberi kebebasan sepenuhnya sebagaimana sebelum ini. Kita juga mengambil berat pergerakan keluarga Orang Asli dan mesti memberitahu kita jika ingin keluar daripada kampung.

“Pemasangan pagar yang kita lakukan itu sebelum ini adalah atas dasar peringatan seperti yang disarankan kerajaan berhubung kawalan ketat PKP,”katanya.

Penghulu Tanpa Mukim, Pos Pasik, Salim Chimbong, 43, berkata, pemasangan pagar menutup jalan ke kampung itu sebelum adalah atas kehendak penduduk.

Katanya, langkah itu bagi menghalang pergerakan bebas anak-anak mereka tanpa menghiraukan bahaya penularan wabak Covid-19.

“Pagar menutup jalan sudah dibuka semula dan kita juga mengenakan peraturan ketat jika ada orang luar ingin memasuki Pos Pasik.

“Beberapa penduduk ditugaskan melakukan rondaan bagi memastikan orang luar yang ingin memasuki kampung Orang Asli mendapat kebenaran terlebih dahulu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan